Hola 2014

Tahun baru menjelma lagi. Kali ini 2014. 2013 berakhir dengan tenang.

2013 tahun yang penuh dengan suka duka dan haru biru kehidupan.  Keriangan dan kesedihan bersilih ganti, bagai roda yang takkan pernah ada niat untuk berhenti. Walau apapun, teruskan menikmati kehidupan. Bila wujud saat bahagia dan sedih, bermakna kehidupan itu tidak statik, kehidupan itu tidak pegun. Sentiasa ada yang menjadikannya hidup, hidup dalam pelbagai warna. Warna yang bukan hanya hitam dan putih. Bukankah itu tujuan hidup? Menguji insan dengan saat bahagia dan sedih.

2013, berlalu dengan penuh perasaan yang sarat. Sarat dengan kata-kata yang tak terluah, terkelu di bibir. Namun, itu yang membuka makna kehidupan yang lain. Bukankah kehidupan ini penuh dengan sisi yang berbeza. Makna yang berbeza. Terpulang pada hati sendiri untuk menerima dengan hati yang terbuka dan menilai semuanya. Satu yang harus difahami, telanlah pusingan kehidupan itu. Andai tiada rela, paksakan diri. Kerana itu hanya satu-satunya cara untuk terus melangkah, bergerak dari satu tahap ke tahap yang lain. Jangan biarkan diri kita pegun, kerana itulah yang akan menghalang kedewasaan yang sepatutnya kita hadapi. Takut memang takut, tapi sampai bila? Kita hidup bertuhan, peganglah tali tawakal itu. Cakap memang senang, tapi sebenarnya bila kita mula melakukan sesuatu, semuanya akan mudah. Percayalah. Kan Tuhan itu Yang Maha Memudahkan.

2014 mengetuk pintu, meminta izin untuk singgah selama 365 hari. Bermulalah pengembaraan 365 hari bersama dengan hati yang tenang. Harap tenang sampai ke hujung,andai ada hujan dan ribut, tetaplah menari dan menikmati lumrah alam itu. Berbanding 2013, 2014 penuh dengan perancangan yang Insyaallah akan sentiasa dibantu oleh Allah SWT. Yakin padaNya selamanya. Mohon doa dari semua agar semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan Tuhan. Awan mendung itu tetap akan berarak pergi, hanya masa yang menentukan. Selain itu, cekal lah hati walau gundah itu tiba lagi. Tapi harapnya mudah untuk dilepasi.

Setiap kita mempunyai pandangan berbeza, berbeza dari setiap sudut. Kadang-kadang, diam itu lebih memberi banyak makna dari mengungkap sesuatu yang mungkin tidak memberi apa-apa makna.

 

Leave a comment